Thursday, November 26, 2020

KENYALANG AKU RINDU


 

Bumi Kenyalang tidak akan dapat aku jejaki dalam masa terdekat. Tiket yang kutempah kini bagaikan kertas yang tidak memberi apa-apa makna lagi. Aku terkandas di kolej. Niatku untuk balik ke kampung tercinta kini terkubur mati. Pengumuman daripada perdana menteri sebentar tadi menyiksa jiwa dan ragaku. “Perintah kawalan pergerakan (PKP) akan bermula pada 18 Mac 2020.”

Wabak yang mula melanda Malaysia kini membantutkan pergerakkanku. Penularan wabak ini membuatkan aku menyesali kerana aku mengambil keputusan untuk tidak balik ke kempung pada cuti semester. Aku bernasib baik kerana aku telah bersepakat dengan rakan sebilikku sebelum mengambil keputusan untuk tinggal di kolej. Jadi, sepanjang aku berada di kolej ini, aku tidak keseorangan.

            Bagi mencegah penularan wabak ini masuk ke dalam kawasan universiti, kami tidak diarahkan untuk keluar daripada kawasan kolej. Jadi selama dua minggu perintah kawalan tersebut dijalankan, kami hanya menghabiskan masa dalam bilik. Memandangkan kelas secara atas talian belum dimulakan, kami banyak menghabiskan masa dengan menonton drama.

Tidak dinafikan bahawa aku terkilan kerena tidak balik ke kampung. Berita yang dikhabarkan ibu kepadaku menjadikan aku penuh rasa bersalah. Ayah. Ayah sakit di kampung. Pelbagai andaian buruk bermain-main di kepalaku. Tanpa kusedari air mataku mengalir. Sakit. Aku memegang dadaku. Perasaanku ketika itu tidak boleh aku gambarkan dengan apa-apa. Risau. Aku sungguh risau akan keselamatan ibu bapaku di kampung. Walaupun aku mempunyai enam orang adik beradik, tetapi dalam keadaan seperti ini, pergerakkan untuk balik ke kampung tidak dibenarkan sama sekali. Persoalan-persoalan menjentik mindaku untuk berfikir. Begaimana ibu mahu menguruskan semuanya? Bagaimana? Perasaan serba salah mula menyelubungi aku. Pipiku dibasahi lagi.

Rutin harian kami berlalu sama sahaja setiap hari. Waktu tidurku kian berubah. Waktu makanku tidak menentu. Seolah-olah pengurusan diriku gagal. Aku terasa hidup dalam sebuah kotak yang ditutup rapat. Hanya angin sahaja dibenarkan untuk masuk. Namun, aku tabahkan hati dengan menyatakan bahawa ini adalah sementara. Saban hari, wabak tersebut kian meningkat. Aku sudah putus harapan untuk menjejaki kami di Bumi Kenyalang. Hampa. Tiada khabar bahawa wabak tersebut akan mengalami penurunan. Oleh itu, PKP dilanjutkan sehingga Jun 202. Rentetan daripada itu, kami terpaksa menjalani bulan puasa dan beraya dalam suasana yang tidak lagi menyeronokkan bagi semua orang. Lebih-lebih lagi bagi kami yang hanya berada dalam bilik sahaja sepanjang hari, selama PKP dijalankan. Pelbagai perkara baharu yang terpaksa dijalani sepanjang tahun ini. Mungkin sesuatu yang bakal memberi kegembiraan akan dikecapi kelak. Aku tidak tahu.

Kipas kutenung lama. Entah. Hatiku tidak tenang daripada semalam. Mata susah kulelapkan. Aku terdengar bunyi burung sudah mula berkicauan di pagi hari lantas mengambil telefonku pantas, nombor telefon ibu menjadi sasaranku. Panggilanku disambut. Setelah lama berbual, penggilan ditamatkan. Perasaanku tidak menentu sama ada setuju atau tidak dengan kemahuan ibuku. Ibuku ingin membawa ayah ke hospital. Namun, aku bimbang kerana wabak yang kian mengganas tidak mengenal orang untuk menjadi mangsanya. Segala pesanan sudah aku titipkan buat ayah dan ibuku supaya keselamatan sentiasa dijaga. Gunakan pelitup muka. Jaga jarak dengan orang lain. Aku takut. Takut sesuatu yang buruk akan berlaku. Semenjak ibu mengabarkan aku berita yang mengatakan ayah aku sakit. Perasaan aku sudah tidak menentu. Aku berharap hati aku tabah dalam menerima segala kemungkinan yang bakal berlaku.

No comments:

Post a Comment

DUNIA HIBURAN

  Kritikan tentang dun ia hiburan      Dunia kini tiada pisahnya dengan hiburan. Buktinya, para remaja walhal kanak-kanak sekalipun cenderun...