Thursday, November 26, 2020

884M IMPIANKU


 

Aku mengaduh kesakitan. Aku memegang kepalaku. Barangkali kepalaku terhantuk di cermin tingkap bas. Aku terjaga. Perjalanan menuju ke Negeri Sembilan tidaklah mengambil masa yang lama bagiku. Namun, aku turut terlelap. Maklumlah, kami memulakan perjalanan sebelum fajar memulakan kerjanya. Sebelum bertukarnya warna langit. Sebelum bangunnya burung-burung yang memeriahkan pagi. Suasana dalam bas ketika itu sangat gelap. Rakan di sebelahku juga tidak dapat kulihat jelas. Aku kembali menutup mata, memberi ruang untuk aku berada dalam alam fantasi lagi.

Suara riuh-rendah menyapa lembut telingaku. Aku mula tersedar. Kami sudah tiba di destinasi. Seorang ketua bagi program ini telah memberi arahan untuk kami. Kami pun dibenarkan untuk turun bagi berkumpul untuk mendengar taklimat ringkas. Matahari masih menyembunyikan wajahnya ketika itu. Aku mengeluarkan telefon bimbitku dan memasang mod lampu suluh. Kami pun mula mengorak langkah.

Tidak lama selepas itu, kami tiba di kaki gunung yang hendak kami daki tidak lama lagi. Perasaan teruja aku tidak dapat aku sembunyikan. Semuanya tergambar pada wajahku. Bibirku mengukir senyuman. Kami disediakan sarapan pagi untuk mengalas perut di samping dijadikan tenaga untuk mendaki gunung kelak.

Mentari mula menyinari pagi. Burung-burung berkicauan meriuhkan suasana. Angin meniupi lembut rambutku. Kini, dapat kutatap jelas wajah-wajah yang menyertai program itu. Gunung Datuk menjadi pilihan mereka pada kali ini. Program seperti ini mereka adakan saban kali bulan Oktober menjelma.

Setelah menerima kata putus, kami pun memulakan perjalanan menaiki gunung tersebut. Ketinggiannya 884m membuatkan aku dan kawanku menarik nafas panjang sebelum memulakannya. Wajah kami saling bertatapan seketika, memberi semangat antara sesama supaya dapat merasai udara segar di puncak gunung kelak.

 Peluh mula membasahi dahiku lantas mengeluarkan tuala kecil dalam beg yang aku galas. Aku menoleh ke belakang. Ternyata kawanku sudah jauh ketinggalan. Aku berehat seketika. Mengambil nafas baharu sebagai tenaga untuk aku melangkah. Perasaan penat mula terasa di kakiku. Badanku terasa berat untuk memulakan langkah kembali. Tetapkan tegapkan hati. Langkahku kian mengecil. Penat. Sungguh penat. Perasaanku untuk sampai di puncak gunung seakan terkubur awal. Kawanku menyapa. Memberi pendorong bagiku memulakan segalanya. Siapkan minda, tegasnya. Aku kini mengekori jejaknya.

Perasaanku tidak tergambar saat kami tiba di puncak gunung tersebut. Betullah kata orang, segala penat lelah akan hilang apabila dapat melihat indahnya ciptaan Tuhan. Segalanya tersusun rapi. Segala bangunan terlihat kecil dari puncak ini. Puncak yang memperlihatkan kita bertapa agungnya Dia. Puncak sebagai bukti kehebatkan kuasa-Nya. Puncak yang memberi jaminan kepada kita dalam segala perancang-Nya. Aku amat bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai semua itu. Segala kenangan terlukis indah dalam ingatan. Akan aku simpan dalam lubuk mindaku yang paling dalam sehingga aku tidak sesaat pun melupakannya. Aku amat mengharapkan itu. Aku tahu segala yang terjadi semua sudah tertulis untukku. Jadi, sebagai hamba yang menumpang teduh di dunia ini, kita perlu mensyukuri semua nikmat yang telah diberikan kepada kita. Semua ini memang dicipta untuk kita. Aku tidak menafikannya. Tetapi, aku menidakkan sekiranya ada yang mahu mencoret langit yang indah, menaburi laut yang luas, menggempuri tanah yang subur.

 

No comments:

Post a Comment

DUNIA HIBURAN

  Kritikan tentang dun ia hiburan      Dunia kini tiada pisahnya dengan hiburan. Buktinya, para remaja walhal kanak-kanak sekalipun cenderun...