Saturday, December 12, 2020

''TIBAU"



 
Seni dan budaya

“Tibau” adalah salah satu permainan yang tidak asing lagi bagi kaum Melanau. Kebiasaannya, permainan ini akan diadakan setiap kali pesta kaul menjelma. Pesta kaul adalah pesta yang disambut oleh kaum Melanau bagi meraikan para petani yang telah tamat menuai padi yang selalunya diadakan saban kali bulan April menjelma. Mereka akan meraikannya selama seminggu. Sepanjang pesta itu berlangsung, pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh kaum Melanau akan diperkenalkan. Perkara ini termasuklah, makanan tradisional, pakaian tradisional akan diperagakan, permainan tradisional dan sebagainya.

Jadi, saya akan menceritakan sedikit tentang permainan yang sangat popular dalam kalangan kaum Melanau, iaitu Tibau. Tibau adalah permainan yang berasaskan tali yang diikat pada kayu yang tinggi. Mereka juga turut membina tangga yang besar untuk memudahkan para pemain menunggu giliran masing-masing untuk melompat. Tali juga direka khas untuk memudahkan orang pertama yang berayun itu bertahan lama. Permainan ini akan memerlukan mereka untuk melompat dan bergantung pada satu sama lain. Pada mulanya, seorang akan memulakan ayunan dengan berayun pada tali yang telah diikat tadi. Setelah satu ayunan selesai, pemain seterusnya akan melompat diikuti pemain seterusnya sehingga mereka tidak mampu untuk bertahan antara satu sama lain, maka permainan itu akan dihentikan dan giliran pemain seterusnya akan bermain.  Kebiasaannya permainan ini akan dimainkan oleh golongan lelaki, namun golongan wanita juga tidak ketinggalan dalam mencubanya.

 Berdasarkan pengalaman saya, saya tidak mampu untuk bertahan lama untuk berayun. Hal ini kerana badan akan sakit kerana pemain seterusnya akan melompat dan menghempap badan kita. Jadi, rekod yang saya pegang adalah sebanyak 5 orang sahaja. Namun, ia adalah permainan yang sangat menyeronokkan bagi saya sendiri.

Melalui permainan ini, saya mampu untuk melahirkan kerjasama yang baik antara satu sama lain. Malah, kami mampu untuk bertoleransi dan berkomunikasi dengan baik. Oleh itu, permainan yang diwarisi oleh sesuatu kaum perlu kita perjuangkan supaya generasi kelak turut dapat merasainya sekaligus mengangkat tinggi budaya bagi sesuatu kaum.

No comments:

Post a Comment

DUNIA HIBURAN

  Kritikan tentang dun ia hiburan      Dunia kini tiada pisahnya dengan hiburan. Buktinya, para remaja walhal kanak-kanak sekalipun cenderun...