Saturday, December 12, 2020

KARI AYAM AYAH


 

Makanan kegemaran

Air tangan ayah sudah pasti berbeza dengan ibu. Ibu sangat bertuah kerana dianugerahi seorang lelaki yang tidak janggal dengan suasana dapur. Malah tidak dinafikan, masakan ayah lebih sedap. Hal ini menyebabkan ayah menjadi ketua dalam aktiviti memasak apabila ada majlis atau keramaian yang diadakan di kampung. Maklumlah, penduduk kampung tidak mahu menggunakan khidmat ketering. Bagi mereka, bergotong-royong dalam menjayakan sesuatu majlis adalah lebih meriah. Barulah suasana majlis itu dikatakan sebagai majlis yang diadakan di kampung kerana semuanya berasakan penduduk kampung. Penduduk kampung sangat menyukai ayah kerana sikapnya yang tidak kedekut ilmu. Dia turut memberi resepi masakannya kepada penduduk kampung yang memintanya malah ayah menawar diri untuk mengajarnya. Aku sangat mengagumi lelaki itu. Lelaki itu kupanggil ayah.

Pernah suatu ketika, ibuku perlu menjalani kursus selama beberapa hari dan tidak balik ke rumah. Jadi, kami hanya tinggal bertiga di rumah. Aku, ayah dan adikku. Ketika itu, usiaku tidaklah telalu kecil kerana aku telah bersekolah di sekolah rendah. Aku boleh sahaja menggantikan tempat ibu sepanjang ibu kursus untuk menyiapkan makanan kerana ayahku perlu bekerja. Namun, ayah melarang kami untuk memasak. Pergi ke dapur hanya untuk makan biskut atau minum air sahaja. Manakala ayah pula pergi bekerja. Dia hanya balik ke rumah pada tengah hari iaitu untuk makan tengah hari serta berehat sebelum memulakan kerjanya pada waktu petang. Dia akan memasak sejurus sahaja sampai di rumah. Aku dan adikku hanya menunggu ayah menyiapkan semua itu di meja makan. Itu perintahnya, kami hanya menuruti.

Ayah memasak kari ayam ketika itu. Itulah pertama kali aku mencuba masakannya. Sedap. Sungguh sedap. Kuahnya pekat. Aromanya sungguh wangi. Sekali pandang kari ayamnya kelihatan pedas namun, sakali mencuba ia tidaklah sepedas yang aku jangkakan. Ayah tahu anaknya tidak makan makanan pedas. Aku berasa puas hati makan tengah hari itu sehingga licin pinggan aku kerjakan. Ayah hanya tersenyum gembira melihat anaknya menghabiskan makanan. Dia tahu anaknya itu tidak suka makan.

Sejak peristiwa itu, aku selalu menyuruhnya memasak kari ayam. Sehingga aku dewasa, aku kerap menyuruh ayah memasak. Walaupun ayah telah menurunkan ilmunya kepadaku, namun aku tetap berkerah untuk menyuruhnya memasak. ‘’Air tangan ayah lain, air tangan sendiri lain.” Aku selalu berkata sedemikian kepadanya membuatnya berasa serba salah dan menurut permintaanku.

Ya. Makanan kegemaranku kari ayam dan orang yang memasaknya ialah ayahku sendiri. Namun, selepas ini aku perlu memasak untukku sendiri. Tiada lagi orang yang ingin memasak kari ayam untukku selepas ini. Ayah telah pergi. Masakan ayah akan aku rindui. Kari ayam ayah akan tetap menjadi makanan kegemarananku. Aku rindu semua itu.

No comments:

Post a Comment

DUNIA HIBURAN

  Kritikan tentang dun ia hiburan      Dunia kini tiada pisahnya dengan hiburan. Buktinya, para remaja walhal kanak-kanak sekalipun cenderun...