Sunday, December 13, 2020

DUNIA HIBURAN

 
Kritikan tentang dunia hiburan


    Dunia kini tiada pisahnya dengan hiburan. Buktinya, para remaja walhal kanak-kanak sekalipun cenderung untuk membesar dengan dunia hiburan. Hal ini kerana mereka didedahkan dengan perkara sedemikian dalam usia terlalu muda. Justeru, perkara itu akan sebati dengan jiwa mereka sehingga meningkat dewasa. Perkara ini ada baik dan buruknya. Kita juga ketahui dunia hiburan bukanlah sesuatu yang sepenuhnya negatif.


    Malah tidak dinafikan dunia hiburan sememangnya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Ada sahaja golongan yang menceburi dunia hiburan sebagai salah satu alternatif untuk menjana pendapatan atau sebagai sebuah kerjaya. Jika diperhatikan ramai golongan muda yang berjinak-jinak dengan dunia hiburan pada ketika ini. Kegawatan ekonomi menjadi salah satu alasan para remaja menggunakan kaedah itu untuk menjana pendapatan. Malah platform ini merupakan platform terdekat yang digunakan. Hal ini bertujuan untuk memberi hiburan kepada masyrakat melalui pelbagai pendekatan seperti platform media sosial misalnya youtube, media massa contohnya televisyen dan sebagainya.


    Seiring dengan peredaran zaman, dunia hiburan semakin dilaung tinggi oleh golongan yang menceburinya. Dengan menceburi dunia hiburan ini, kita seperti meletakkan sebahagian diri kita untuk dijadikan buah mulut masyarakat. Oleh itu, golongan yang menceburi dunia hiburan ini perlulah kuatkan diri dan tabahkan hati, hal ini kerana kita tidak tahu penerimaan masyarakat akan kehadiran kita dalam bidang ini. Kecaman atau tomahan daripada pihak luar perlu dijadikan pembakar semangat untuk terus berada dalam bidang ini. Sudah terang lagi bersuluh, bidang ini memang mudah untuk melonjakkan nama seseorang dan dengan sekelip mata menjatuhkannya juga.


     Sebagai masyarakat yang berfikiran terbuka, kita pasti mampu membezakan yang baik dan buruk. Oleh itu, kita perlu mendidik diri sendiri agar menjaga tingkah laku apabila berdepan dengan dunia hiburan. Setiap tutur kata, tingkah laku dan apa-apa sahaja yang kita perbuat bagaikan diperhatikan oleh orang sekeliling.
 

Saturday, December 12, 2020

ANAK MUDA

Anak muda

Namaku Nurasyikin binti Mohammad. Aku dilahirkan ketika dunia sudah membangun, dunia yang serba canggih. Ketika aku berumur tiga tahun, ayahku telah membelikan aku telefon pintar supaya dia dapat mengawal aku. Ternyata usahanya gagal. Aku semakin leka sehingga aku tidak mendengar nasihat mereka. Aku dan teknologi bagai isi dengan kuku, memang tidak dapat dipisahkan.

Semakin hari sikapku menjadi lebih agresif. Aku sanggup melawan kata-kata ayahku. Baginya, aku tidak mampu menggunakan teknologi itu dengan betul. Kewujudan teknologi menyebabkan aku tiada masa untuk diluang bersama mereka. Tambahan lagi aku satu-satunya anak mereka. Dia mengugut aku. Dia mengatakan bahawa dia akan mengambil semula telefon tersebut. Ugutannya itu membuatkan aku memberontak. Betapa biadapnya aku ketika itu.

Aku keluar rumah. Hatiku panas, darahku mendidih. Bagiku, ayah tidak memahami jiwa anak muda yang ada pada diriku. Tapi dalam masa yang sama hatiku turut menangis. Mungkin cara aku agak keterlaluan. Tapi aku mengambil sedikit masa untuk menenangkan fikiranku yang sedang berserabut. Aku terbayang-bayang wajah ayahku lapan tahun dahulu. Wajahnya ceria selepas menghadiahkan aku sebuah telefon pintar ketika hari lahirku yang ketiga.

Mungkin ayahku merasakan dia telah membahagiakan satu-satunya anak perempuannya itu. Dia mendedahkan aku dengan teknologi pada usia yang amat muda. Fikiranku lenyap tiba-tiba selepas aku mendengar namaku dipanggil dengan lantang. Kelihatan ibu dan ayahku menghampiri aku dengan muka yang marah dan sedikit risau.

Ayah menarik tanganku dengan kasar dan membawa aku balik ke rumah. Ibuku tidak boleh berbuat apa-apa. Matanya mengalirkan air mata melihat aku diperlakukan sebegitu oleh ayah. Ayah memarahi aku di depan ibu. Matanya merah, dadanya turun naik. Sesungguhnya ketika itu aku betul-betul takut. Dia akan merampas telefon pintar saya. Waktu itu aku tidak peduli. Perkara yang paling penting bagiku saat itu ialah dia memaafkan aku.

Ayah meninggalkan aku dan ibu di ruang tamu. Melihat aku menangis, ibu segera memelukku. Malah dia berjanji akan memujuk ayah. Aku kembali tersenyum. Malam itu aku sentiasa berharap agar ayah masuk ke dalam bilikku dan menemani aku sehingga aku tertidur. Tetapi malam itu, aku hampa. Ayah tidak seperti malam-malam sebelumnya. Betapa aku menyesal ketika itu. Aku menyedari bahawa ayah benar-benar menyayangiku. Tiba-tiba pintu bilikku dibuka. Aku terkejut dan gembira, berharap ayah yang datang tetapi sebaliknya. Ibuku datang membawa telefon pintarku sambil menayangkan muka yang bengis. Dia melemparkan telefon itu ke arahku dan aku sempat menyambutnya.

Aku hairan. Petang tadi dia bersikap baik denganku, tapi malam ini tidak. Dia keluar sambil menghempaskan pintu dengan agak kuat sehingga aku tersentak. Aku menghidupkan telefonku. Ada beberapa pesanan yang masuk, tetapi tidak kupedulikan. Lantas aku mematikannya kembali dan melelapkan mataku.

Aku bangun ketika matahari berada tegak di atas kepala. Pelik. Semalam aku bangun awal kerana ayahku yang membangunkan aku. Tetapi tidak untuk hari ini. Aku mengambil tuala dan melangkah ke bilik mandi. Kelihatan ayah dan ibuku sedang menonton televisyen. Aku ingin menegur mereka tetapi lidahku kelu. Aku perlu meminta maaf kepada mereka, tegasku.

''TIBAU"



 
Seni dan budaya

“Tibau” adalah salah satu permainan yang tidak asing lagi bagi kaum Melanau. Kebiasaannya, permainan ini akan diadakan setiap kali pesta kaul menjelma. Pesta kaul adalah pesta yang disambut oleh kaum Melanau bagi meraikan para petani yang telah tamat menuai padi yang selalunya diadakan saban kali bulan April menjelma. Mereka akan meraikannya selama seminggu. Sepanjang pesta itu berlangsung, pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh kaum Melanau akan diperkenalkan. Perkara ini termasuklah, makanan tradisional, pakaian tradisional akan diperagakan, permainan tradisional dan sebagainya.

Jadi, saya akan menceritakan sedikit tentang permainan yang sangat popular dalam kalangan kaum Melanau, iaitu Tibau. Tibau adalah permainan yang berasaskan tali yang diikat pada kayu yang tinggi. Mereka juga turut membina tangga yang besar untuk memudahkan para pemain menunggu giliran masing-masing untuk melompat. Tali juga direka khas untuk memudahkan orang pertama yang berayun itu bertahan lama. Permainan ini akan memerlukan mereka untuk melompat dan bergantung pada satu sama lain. Pada mulanya, seorang akan memulakan ayunan dengan berayun pada tali yang telah diikat tadi. Setelah satu ayunan selesai, pemain seterusnya akan melompat diikuti pemain seterusnya sehingga mereka tidak mampu untuk bertahan antara satu sama lain, maka permainan itu akan dihentikan dan giliran pemain seterusnya akan bermain.  Kebiasaannya permainan ini akan dimainkan oleh golongan lelaki, namun golongan wanita juga tidak ketinggalan dalam mencubanya.

 Berdasarkan pengalaman saya, saya tidak mampu untuk bertahan lama untuk berayun. Hal ini kerana badan akan sakit kerana pemain seterusnya akan melompat dan menghempap badan kita. Jadi, rekod yang saya pegang adalah sebanyak 5 orang sahaja. Namun, ia adalah permainan yang sangat menyeronokkan bagi saya sendiri.

Melalui permainan ini, saya mampu untuk melahirkan kerjasama yang baik antara satu sama lain. Malah, kami mampu untuk bertoleransi dan berkomunikasi dengan baik. Oleh itu, permainan yang diwarisi oleh sesuatu kaum perlu kita perjuangkan supaya generasi kelak turut dapat merasainya sekaligus mengangkat tinggi budaya bagi sesuatu kaum.

KARI AYAM AYAH


 

Makanan kegemaran

Air tangan ayah sudah pasti berbeza dengan ibu. Ibu sangat bertuah kerana dianugerahi seorang lelaki yang tidak janggal dengan suasana dapur. Malah tidak dinafikan, masakan ayah lebih sedap. Hal ini menyebabkan ayah menjadi ketua dalam aktiviti memasak apabila ada majlis atau keramaian yang diadakan di kampung. Maklumlah, penduduk kampung tidak mahu menggunakan khidmat ketering. Bagi mereka, bergotong-royong dalam menjayakan sesuatu majlis adalah lebih meriah. Barulah suasana majlis itu dikatakan sebagai majlis yang diadakan di kampung kerana semuanya berasakan penduduk kampung. Penduduk kampung sangat menyukai ayah kerana sikapnya yang tidak kedekut ilmu. Dia turut memberi resepi masakannya kepada penduduk kampung yang memintanya malah ayah menawar diri untuk mengajarnya. Aku sangat mengagumi lelaki itu. Lelaki itu kupanggil ayah.

Pernah suatu ketika, ibuku perlu menjalani kursus selama beberapa hari dan tidak balik ke rumah. Jadi, kami hanya tinggal bertiga di rumah. Aku, ayah dan adikku. Ketika itu, usiaku tidaklah telalu kecil kerana aku telah bersekolah di sekolah rendah. Aku boleh sahaja menggantikan tempat ibu sepanjang ibu kursus untuk menyiapkan makanan kerana ayahku perlu bekerja. Namun, ayah melarang kami untuk memasak. Pergi ke dapur hanya untuk makan biskut atau minum air sahaja. Manakala ayah pula pergi bekerja. Dia hanya balik ke rumah pada tengah hari iaitu untuk makan tengah hari serta berehat sebelum memulakan kerjanya pada waktu petang. Dia akan memasak sejurus sahaja sampai di rumah. Aku dan adikku hanya menunggu ayah menyiapkan semua itu di meja makan. Itu perintahnya, kami hanya menuruti.

Ayah memasak kari ayam ketika itu. Itulah pertama kali aku mencuba masakannya. Sedap. Sungguh sedap. Kuahnya pekat. Aromanya sungguh wangi. Sekali pandang kari ayamnya kelihatan pedas namun, sakali mencuba ia tidaklah sepedas yang aku jangkakan. Ayah tahu anaknya tidak makan makanan pedas. Aku berasa puas hati makan tengah hari itu sehingga licin pinggan aku kerjakan. Ayah hanya tersenyum gembira melihat anaknya menghabiskan makanan. Dia tahu anaknya itu tidak suka makan.

Sejak peristiwa itu, aku selalu menyuruhnya memasak kari ayam. Sehingga aku dewasa, aku kerap menyuruh ayah memasak. Walaupun ayah telah menurunkan ilmunya kepadaku, namun aku tetap berkerah untuk menyuruhnya memasak. ‘’Air tangan ayah lain, air tangan sendiri lain.” Aku selalu berkata sedemikian kepadanya membuatnya berasa serba salah dan menurut permintaanku.

Ya. Makanan kegemaranku kari ayam dan orang yang memasaknya ialah ayahku sendiri. Namun, selepas ini aku perlu memasak untukku sendiri. Tiada lagi orang yang ingin memasak kari ayam untukku selepas ini. Ayah telah pergi. Masakan ayah akan aku rindui. Kari ayam ayah akan tetap menjadi makanan kegemarananku. Aku rindu semua itu.

AKU

 

Tekad hidup

Aku dibesarkan di kampung. Kawasan yang cukup aman dan damai tanpa gangguan kenderaan atau sebagainya. Hanya bunyi kicauan burung sahaja yang menemani pagi dan petang. Namun, keperitan hidup sebagai anak kampung menyebabkan aku menanam hasrat untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga sekarang. Tekadku hanya satu. Aku ingin mengubah nasib keluargaku. Kalau bukan aku, siapa lagi? Takdir hidup seseorang sudah pasti berbeza. Ada yang hidup dalam kemewahan sejak lahir, ada yang tidak. Tetapi, aku tetap bersyukur. Kepayahan dan keperitan ini mengajar aku agar tidak mensia-siakan keletihan ibu dan ayahku menyara kami sekeluarga. Akan kubalas suatu hari nanti.

Impianku dahulu ingin membina sebuah teratak indah untuk kedua ibu bapaku. Namun, perancangan Tuhan tidak dapat kita duga. Ayah menghembus nafas terakhir pada tahun ini. Aku hampir putus asa. Aku tidak sanggup melihat ibuku bekerja untuk menyara aku serta adik beradikku yang lain semata-mata untuk mendapatkan segulung ijazah. Namun, ibuku menegah. Dia bertekad selagi dia mampu, anak-anaknya tidak akan berhenti dalam pengajian. Jadi, matlamat hidupku kini hanya untuk memenuhi impian ibuku. Aku mahu ayah tersenyum gembira melihat kejayaan anaknya kelak. Aku mahu berjaya.

 Pada usia 21 tahun ini, aku perlu mengubah pendirianku. Perasaan ibu menjadi keutamaanku. Aku tidak mahu melihatnya menitiskan air mata lagi. Cukuplah pemergian ayah membuat kami sekeluarga bersedih. Patahnya sebelah sayap menjadikan burung tidak mampu untuk terbang, begitu juga dengan kami. Aku tahu Tuhan tidak akan menguji hambanya sekiranya hambanya tidak kuat untuk melalui semua itu. Aku kuat. Anak ayah kuat.

Justeru, aku tabahkan hati. Aku kuatkan diri demi ibu. Demi kami sekeluarga. Aku tidak mahu terus hanyut dalam kesedihanku sendiri. Ya, aku tidak nafikan kadang-kadang wajah gembira, marah, dan merajuk ayah kian berlegar dalam ingatan ini. Aku hanya menahan rindu. Aku tidak mahu ibuku turut sedih melihat kesedihanku.

Hidup hanya sekali. Tiada dua atau tiga. Aku harus membuatnya bahagia sepanjang nadi ini masih berdenyut. Pemergian ayah secara tiba-tiba membuatkan aku masih dalam duniaku sendiri. Aku seakan-akan tidak percaya semua itu. Perkara yang aku takuti kini terjadi dalam keluargaku sendiri. Kehilangan. Kehilangan orang yang kita sayang sangat menguji kesabaran kita sebagai manusia. Sakit hati yang dirasa tidak mampu diluah melainkan hanya dipendam.

Aku perlu mengubah mentaliti ini. Tekadku kini hanya ingin bibir ibu kembali mengukir senyuman. Kejayaanku adalah salah satunya. Aku pasti mampu membuatnya kembali senyum gembira. Menitiskan air mata bukan air mata kesedihan melainkan air mata kegembiraan. Tekadku dalam hati.

TUAH JEBAT


 

Kritikan tentang drama atau filem

Teater Tuah dan Jebat akan menjadi pilihan dalam meneruskan blog ini iaitu dengan memberi kritikan terhadap pementasannya. Teater ini berdurasi 1 jam 31 minit 9 saat. Saya memilih teater sebagai medium untuk dikritik kerana saya lebih cenderung untuk menonton teater sejak kebelakangan ini. Jadi, saya mengambil langkah mudah untuk langsung memberi kritikan terhadap teater yang saya tonton. Saya akan mengkritik berdasarkan dua aspek utama iaitu lakonan dan pencahayaan. Seperti yang kita tahu, sekiranya meenonton teater keberkesanan pementasan itu kepada audiens adalah perkara penting.

Berdasarkan teater ini, dapat dilihat para pelakon memberi komitmen yang sangat tinggi dari awal sehingga tamat pementasan tersebut sehingga teater yang terhasil merupakan teater yang terbaik. Sepanjang pementasan, saya menitikberatkan beberapa perkara yang ingin saya fokuskan daripada seorang pelakon iaitu lakonan, nada suara dan kejiwaan terhadap watak yang dipegang. Dengan demikian, kita boleh mengetahui pembawaan watak oleh para pelakon berjaya dijiwai atau tidak.

Dari aspek lakonan, sudah terang lagi bersuluh para pelakon mementaskannya dengan sangat baik. Saya kagum melihat aksi tikam-menikam antara Hang Tuah dan Hang Jebat. Aksi sedemikian adalah babak yang paling banyak dalam teater ini. Jadi, sebagai seorang pelakon yang memegang watak utama, sudah pasti tempoh untuk berlatih adalah sangat panjang. Walaupun tempat yang disediakan sangat minimum, namun kedua-duanya mampu untuk mengekalkan momentum ketika melakukan aksi sedemikian.

Selain itu dari aspek nada suara, pera pelakon berjaya mengawal intonasi suaranya dengan betul. Babak yang memerlukan mereka bersuara lantang demi menegakkan kebenaran. Sebagai contoh, Hang Tuah bersuara lantang ketika dia menyatakan hasratnya untuk membunuh Hang Jebat. Sebagai penonton, kejiwaan Hang Tuah terhadap wataknya dapat menyentuh emosi. Kita seakan-akan berada dalam alam yang kedua-duanya ingin membunuh antara satu sama lain.

Dari aspek pancahayaan pula, saya akan mengktitik tentang perubahan cahaya atau tumpuan cahaya tersebut. Saya dapati ada babak yang kekurangan pencahayaan iaitu perubahan cahaya bergerak perlahan sehingga membenamkan pelakon. Sebagai petugas di bahagian pencahayaan, kita sepatutnya lebih sensitif atau peka terhadap perkara yang sedang berlaku, tindakan kita seterusnya dan sebagainya. Malah, saya dapati bahawa fokus cahaya itu hanya statik di satu tempat sahaja. Seperti yang kita tahu, para pelakon akan melakukan aksi dan menyebabkan mereka bergerak ke satu tempat ke tempat yang lain. Sekiranya pencahayaan hanya statik, maka audiens akan melihat pelakon sekan-akan ikan yang terapung di permukaan air, timbul dan tenggelam. Oleh itu, pentingnya pencahayaan dalam sesebuah teater supaya audiens mampu memberi fokus kepada para pelakon sekaligus jalan penceritaan teater tersebut.

Kesimpulannya, teater adalah pementasan yang perlu menarik perhatian audiens untuk menontonnya. Teater yang baik adalah sebuah teater yang mampu meninggalkan kesan emosi kepada audiens. Dapat saya simpulkan bahawa teater Tuah dan Jebat adalah salah satunya. Jadi, peranan kita sebagai audiens perlu menonton dan mengkritik sama ada baik atau kurang baik sesuatu teater. Manakala sebagai pengarah, kritikan yang diberikan olah para audiens perlu dijadikan sebagai pembakar semangat untuk penambahbaikan teater seterusnya.

T.A

 

Pengalaman membaca buku kreatif

Nama pena Teme Abdullah menjadi pilihanku. Aku amat menyukai hasil penulisannya. Dari mula dia menerbitkan bukunya dari saat itulah hati ini terdetik untuk membeli karyanya itu. Banyak buku yang telah dihasilkannya. Antaranya ialah Empayar 1 & 2, Selamat Tinggal Purnama, Pelukis Jalanan dan sebagainya. Jelas terbukti bahawa buku itu meninggalkan impak yang baik dalam hidupku. Buku tersebut banyak mengajar aku erti kehidupan yang sebenar. Justeru, aku amat berbangga kerana adanya penulis tanah air yang memiliki ilmu seluas lautan sepertinya.

Aku juga tidak terlepas untuk membaca maklum balas yang diajukan oleh para peminatnya yang lain. Rata-rata meninggalkan komen yang memuaskan hati. Mereka juga sepertiku, masih mencari erti kehidupan yang sebenar. Masih samar-samar kelihatan. Bagi mereka, karyanya amat membantu mereka, aku juga tidak ketinggalan memuji tinggi karyanya.

Cetusan idea yang amat menakjubkan. Sentuhan tangan yang ikhlas dalam menghasilkannya. Perahan otak yang mantap. Dapat kita kenal dari aspek perkataan yang digunakannya, dari kekreatifannya mengolah ayat. Sungguh. Aku kagum. Buku yang setebal itu, pada jangkaanku tidak mungkin aku habiskan. Namun, kerana minatku terhadapnya, buku tebal boleh menjadi nipis. Sikapku yang kurang membaca kini menjadikan membaca sebagai hobi. Wow! Sungguh hebat penangan buku itu kepadaku.

Aku amat bersyukur kerana hati ini terdetik untuk membeli buku tersebut. Pada awalnya, aku hanya melihat komen tentang buku itu. Apabila komen yang diberikan hanya komen positif, lantas aku niatkan dalam hati untuk membeli salah sebuah karyanya. Ternyata aku tidak menyesal membelinya. Ia sangat berbaloi. Disebabkan itu, aku selalu mengikuti aktiviti hariannya di Twitter. Dia selalu memuatnaik kata-kata yang mampu kita jadikan sebagai pencetus semangat atau aura positif untuk sepanjang hari itu. Aku selalu menjadikan kata-katanya semangat untuk aku memulakan hariku.

Dia sangat pandai mengukir kata-kata. Aku tidak menyangkal itu. Memang anugerah baginya. Justeru itu, dia tidak lokek ilmu malah berkongsi dengan semua orang. Dengan demikian, dia mampu menyebarkan aura positif kepada segenap manusia yang berada dalam keadaan sedih, kecewa, gembira atau sebagainya.

DUNIA HIBURAN

  Kritikan tentang dun ia hiburan      Dunia kini tiada pisahnya dengan hiburan. Buktinya, para remaja walhal kanak-kanak sekalipun cenderun...