Saturday, December 12, 2020

AKU

 

Tekad hidup

Aku dibesarkan di kampung. Kawasan yang cukup aman dan damai tanpa gangguan kenderaan atau sebagainya. Hanya bunyi kicauan burung sahaja yang menemani pagi dan petang. Namun, keperitan hidup sebagai anak kampung menyebabkan aku menanam hasrat untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga sekarang. Tekadku hanya satu. Aku ingin mengubah nasib keluargaku. Kalau bukan aku, siapa lagi? Takdir hidup seseorang sudah pasti berbeza. Ada yang hidup dalam kemewahan sejak lahir, ada yang tidak. Tetapi, aku tetap bersyukur. Kepayahan dan keperitan ini mengajar aku agar tidak mensia-siakan keletihan ibu dan ayahku menyara kami sekeluarga. Akan kubalas suatu hari nanti.

Impianku dahulu ingin membina sebuah teratak indah untuk kedua ibu bapaku. Namun, perancangan Tuhan tidak dapat kita duga. Ayah menghembus nafas terakhir pada tahun ini. Aku hampir putus asa. Aku tidak sanggup melihat ibuku bekerja untuk menyara aku serta adik beradikku yang lain semata-mata untuk mendapatkan segulung ijazah. Namun, ibuku menegah. Dia bertekad selagi dia mampu, anak-anaknya tidak akan berhenti dalam pengajian. Jadi, matlamat hidupku kini hanya untuk memenuhi impian ibuku. Aku mahu ayah tersenyum gembira melihat kejayaan anaknya kelak. Aku mahu berjaya.

 Pada usia 21 tahun ini, aku perlu mengubah pendirianku. Perasaan ibu menjadi keutamaanku. Aku tidak mahu melihatnya menitiskan air mata lagi. Cukuplah pemergian ayah membuat kami sekeluarga bersedih. Patahnya sebelah sayap menjadikan burung tidak mampu untuk terbang, begitu juga dengan kami. Aku tahu Tuhan tidak akan menguji hambanya sekiranya hambanya tidak kuat untuk melalui semua itu. Aku kuat. Anak ayah kuat.

Justeru, aku tabahkan hati. Aku kuatkan diri demi ibu. Demi kami sekeluarga. Aku tidak mahu terus hanyut dalam kesedihanku sendiri. Ya, aku tidak nafikan kadang-kadang wajah gembira, marah, dan merajuk ayah kian berlegar dalam ingatan ini. Aku hanya menahan rindu. Aku tidak mahu ibuku turut sedih melihat kesedihanku.

Hidup hanya sekali. Tiada dua atau tiga. Aku harus membuatnya bahagia sepanjang nadi ini masih berdenyut. Pemergian ayah secara tiba-tiba membuatkan aku masih dalam duniaku sendiri. Aku seakan-akan tidak percaya semua itu. Perkara yang aku takuti kini terjadi dalam keluargaku sendiri. Kehilangan. Kehilangan orang yang kita sayang sangat menguji kesabaran kita sebagai manusia. Sakit hati yang dirasa tidak mampu diluah melainkan hanya dipendam.

Aku perlu mengubah mentaliti ini. Tekadku kini hanya ingin bibir ibu kembali mengukir senyuman. Kejayaanku adalah salah satunya. Aku pasti mampu membuatnya kembali senyum gembira. Menitiskan air mata bukan air mata kesedihan melainkan air mata kegembiraan. Tekadku dalam hati.

No comments:

Post a Comment

DUNIA HIBURAN

  Kritikan tentang dun ia hiburan      Dunia kini tiada pisahnya dengan hiburan. Buktinya, para remaja walhal kanak-kanak sekalipun cenderun...