Namaku Syaqiah. Aku mendapat tawaran belajar di sebuah
universiti awam di Semenanjung Malaysia. Aku berasal dari Sarawak, jadi aku
terpaksa menaiki kapal terbang untuk ke sana. Itulah kali pertama aku
menaikinya. Perasaan takut, teruja bercampur-baur. Aku ke sana ditemani kakak
dan abangku. Sepanjang perjalanan, aku tidak dapat melelapkan mata. Mataku dikaburi
dengan keindahan ciptaan Tuhan. Aku teruja melihat awan di langit luas berwarna
biru. Cantik. Perkataan yang tidak pernah jemu keluar daripada mulutku sehingga
kami mendarat. Mataku entah mengapa tidak mahu terlelap. Perjalanan selama dua
jam seakan-akan sekejap bagiku.
Bumi Semenanjung dipijakku buat pertama kali. Hatiku
meronta-ronta gembira. Niatku ingin mengajak kakak dan abangku mengambil angin
setelah meninggalkan barang keperluan kami di sebuah kondominium yang sudah
ditempah sebelum kami mendarat di sini. Penat. Itulah yang dirasaku sekarang. Niatku
ingin melelapkan mata aku tolak ke tepi demi memenuhi kemahuanku itu.
Bumi ini masih terasa asing bagiku. Tangan kakak kupegang
erat ketika kami memulakan perjalanan. Segala memori aku sematkan dalam kamera
yang aku setiasa sertakan bersamaku. Detik-detik gembiraku terpapar semuanya di
skrin kamera itu. Bukti kegembiraanku. Walaupun ketika itu, kakiku merintih
penat. Duduk. Perkara yang ingin lakukan saat ini. Namun, pengalaman seperti
ini tidak akan berulang menyebabkan aku mahu melewatinya dengan sepenuh hati.
Segala penat lelah yang menguasai diri menjadi kekuatan kepadaku untuk
meneruskan langkahku.
Tanpa disedari, langit mula berubah warna. Matahari kini
tiada kelihatan lagi. Malam menjelma. Kami pun bersepakat mahu balik ke kondo
untuk merehatkan diri. Setelah memasuki perut kereta, mataku terasa kian berat.
Aku terlelap. Kebiasaannya, aku sukar untuk tidur kerana aku lebih cenderung
untuk melihat indahnya lampu menerangi setiap jalan di bumi ini. Namun, apakan
daya, aku manusia biasa.
Kakakku membangunkan aku. Kelopak mata kubuka malas. Kaki
kuhulur lambat. Tidur. Aku nak tidur. Katil.
Aku terbayang betapa selesanya aku tidur di atas kalit empuk. Perasaan malas
mengusai diri. Langkah kubuka kecil. Tangan kakakku setiasa kupegang bimbang
aku hilang keseimbangan diri. Maklumlah berjalan dalam keadaan yang separa
sedar.
Tanpa kusedari, aku tersepak panghadang pintu masuk
bilik. Mataku kian segar. Mangantukku terus hilang. Jantungku berdetak laju.
Terasa darah mula bekerja semula. Badanku panas tiba-tiba. Aku terkaku. Kakak
menepuk bahuku. Duniaku kembali.
Aku rebahkan badanku di atas katil. Mata sukar kulelapkan
kerana peristiwa tadi. Kutoleh ke sisi. Kakakku kini lena dibuai mimpi. Malam
itu aku sukar melelapkan mata. Badan ini kerap menyatakan bahawa tempat
ini masih asing lagi bagiku.
No comments:
Post a Comment