Mentari
cerah, beralun kicauan burung meriah. Itulah bunyi yang pertama kudengar saat
kubuka mataku. Berbeza dengan semalam, bunyi bising motor dan kereta amat menyesakkan
cuping telingaku. Suasana di kampung sungguh mendamaikan. Tenang. Mungkin kali
ini aku akan berada di kampung lebih lama. Cuti sekolah kali ini akan
kuhabiskan dengan melakukan aktiviti yang berfaedah.
Memancing ialah salah satu
aktiviti di kampung yang paling menyeronokkan bagiku. Kalau hasilnya banyak,
boleh dijual kepada pembekal di kampung. Duitnya nanti bolehlah belanja
kawan-kawan. Dah besar-besar seperti ini malulah nak minta duit dengan mak bapak.
Aku mula membawa bekas dan cangkul untuk mencari umpan. Biasanya penduduk di
sini menggunakan cacing sebagai umpan. Aku pun pergi ke belakang rumah untuk
mencari cacing.
Setelah semua barang keperluan ada, aku
menghidupkan enjin dan mula memandu perahu ke sungai berdekatan. Walaupun
memancing seorang diri, tetapi aku tidak takut. Aku sudah biasa dengan keadaan
seperti ini. Kalau nasibku baik,
dapatlah beberapa ekor ikan dan udang.
Panas matahari mula membahang. Dahiku mula
berpeluh. Aku minum air
kosong yang kubekalkan. Pada waktu begini ikan-ikan akan mencari makanan. Untuk
menjadi seorang pemancing ikan yang berjaya, sifat sabar perlu ada dalam diri.
Oleh itu, aku sentiasa bersabar, harap-harap ada rezeki untuk hari ini.
Tiba-tiba joran kepunyaanku
mula bengkok kerana ada hidupan akuatik makan umpanku. Berat.
Aku mula membayangkan ikan tilapia masak merah. Aku menarik joranku dengan
sabar. Alangkah gembiranya aku apabila seekor ikan tilapia yang besar di depan
mataku. Jika dianggarkan, beratnya mungkin hampir-hampir setengah kilo. Aku pun
meletakkan ikan tersebut di dalam baldi yang telah kubawa.
Setelah
matahari berada tegak di atas kepala, barulah aku berhasrat untuk balik ke rumah.
Aku berpuas hati dengan rezekiku pada hari ini. Beberapa ekor ikan tilapia akan
menjadi makan tengah hari kami sekeluarga nanti.
Setelah
aku makan tengah hari bersama keluarga, aku akan berehat sebentar sebelum
mengikuti ayahku menjala ikan di sungai yang lebih jauh. Aktiviti ini juga
menyeronokkan kerana biasanya akan mendatangkan hasil yang lebih banyak. Aku mula memandu perahu kami ke sungai yang lebih jauh. Sementara itu,
ayahku akan membaiki bahagian jala yang koyak.
Setelah sampai di kawasan
yang dituju, ayahku mula menebar jalanya. Bulat. Sesungguhnya ayahku memang
mempunyai kemahiran dalam bidang ini. Beberapa ekor ikan dan udang menjadi
mangsa dalam cubaan pertamanya. Ikan yang diperoleh oleh ayah menguatkan
semangatku. Aku pun menebarkan jala kepunyaanku. Hampa. Jalaku kosong. Namun
aku tidak mengalah. Aku pun menebarkan jalaku lagi. Lagi dan lagi. Beberapa
ekor ikan kecil menjadi mangsaku.
Setelah beberapa lama menjala, hasil tangkapan
kami pun sudah memuaskan. Ayah mengajakku pulang kerana hari sudah senja.
Setelah membersihkan perahu, aku pun menghidupkan enjin untuk pulang ke rumah.
Udang
yang kami peroleh dikumpulkan dan dijual kepada pembekal di kampung kami, dan
duitnya boleh membayar minyak yang digunakan. Jika hasilnya banyak, ayah akan
memberikan upah yang lebih banyak kepadaku dan begitu juga sebaliknya.
Masih
terlalu banyak aktiviti yang menarik yang boleh dilakukan di kampung. Namun aku
lebih gemar memancing ikan dan menjala. Selain boleh mendapatkan pendapatan
sampingan, ia juga membolehkan aku mendapatkan ikan yang segar sebagai lauk.
Itulah pengalaman yang berharga ketika aku di kampung.
No comments:
Post a Comment