Thursday, November 26, 2020

AKU MASIH BERNYAWA

 

Suasana yang sungguh asing bagiku. Kolej 14? Aku ditetapkan untuk tinggal di situ sepanjang semester ini. Bertemu dengan kawan baharu memang sudah menjadi suatu kewajiban melangkah alam universiti. Tangga kunaiki satu persatu. Penat sungguh penat. Barang-barang keperluanku bagaikan baru berpindah ke tempat baharu. Di kiri, di kanan semuanya penuh. Banyak lagi yang kutinggal di tangga aras bawah blok ini. Aku merungut sendiri. Ketika itu, aku belum menjumpai seorang pun kawanku. Maklumlah sebelum ini, aku hanya seorang diri di bilik sementara yang disediakan oleh pihak kolej itu sepanjang orientasi dijalankan. Biliku berada di tingkat empat. Penatnya mengangkat barang tidak terkira. Hanya peluh membasahi badan menjadi bukti kepenatanku turun naik tangga. Aku mengeluh lagi. Kami berkongsi empat orang sebilik. Semuanya dari negeri yang berlainan. Mendengar itu aku semakin gembira. Perkara yang paling aku teruja ialah aku mampu untuk belajar loghat negeri mereka.

Berada di tingkat empat blok itu membuatkan aku malas untuk bergerak ke mana-mana selepas waktu kelasku tamat sehingga ingin mengisi perut pun aku jarang sekali dek tahap kemalasan aku melampaui segala-galanya. Aku lebih rela menghabiskan masaku di dalam bilik sambil mendengar lagu-lagu bagi mengisi kesunyian melanda. Kebiasaannya, aku yang kerap menghabiskan masa di bilik memandangkan teman sebilikku kadang-kala menghadiri kelas sampai malam. Aku cenderung untuk melakukan hal sendiri membuatkan aku selesa bersendirian. Aku memerhati permandangan dari tingkat empat blok itu, sememangnya menarik, sememangnya cantik walaupun hanya pokok-pokok yang menghiasinya. Angin sepoi-sepoi petang menyapa lembut wajahku. Ia amat mendamaikan.

Jiwaku terganggu saat terdengar riuh-rendah menerjah telingaku berkali-kali. Pintu kukuak ganas. Wajahku marah tidak mampu aku sembunyikan. Kelihatan penghuni blok berlari-lari. Aku sepertinya masih dalam duniaku sendiri. Aku termanggu di depan bilikku. Salah seorang menarik tanganku. Terasa badanku ringan mengikut rentak kakinya. Aku kembali ke dunia nyata. Ternyata loceng kecemasan berdering kuat di setiap aras. Telingaku sahaja yang kurang menangkap bunyinya. Aku pun menambah kelajuan kakiku. Tangga kuturuni laju. Nafasku tersekat-sekat. Kupegang kuat dadaku. Sakit. Langkahku terhenti. Badanku terasa ringan kembali. Seakan-akan kapas yang terbang dibawa angin petang. Dengan kudrat yang ada, aku gagahi untuk meneruskan langkahku. Namun, aku seakan hilang imbangan. Duniaku kelam. Terasa tubuhku diawang-awangan. Aku hanya mampu menuruti kemahuan badanku. Aku takut. Aku menyerahkan semuanya kepada-Nya.

Mata kubuka perlahan. Kipas. Itulah benda pertama mengusik perhatianku. Aku bersyukur kerana masih dikaruniakan umur yang panjang.

No comments:

Post a Comment

DUNIA HIBURAN

  Kritikan tentang dun ia hiburan      Dunia kini tiada pisahnya dengan hiburan. Buktinya, para remaja walhal kanak-kanak sekalipun cenderun...