Bumi Kenyalang tidak akan dapat aku jejaki dalam masa
terdekat. Tiket yang kutempah kini bagaikan kertas yang tidak memberi apa-apa
makna lagi. Aku terkandas di kolej. Niatku untuk balik ke kampung tercinta kini
terkubur mati. Pengumuman daripada perdana menteri sebentar tadi menyiksa jiwa
dan ragaku. “Perintah kawalan pergerakan (PKP) akan bermula pada 18 Mac 2020.”
Wabak yang mula melanda Malaysia kini membantutkan
pergerakkanku. Penularan wabak ini membuatkan aku menyesali kerana aku
mengambil keputusan untuk tidak balik ke kempung pada cuti semester. Aku
bernasib baik kerana aku telah bersepakat dengan rakan sebilikku sebelum
mengambil keputusan untuk tinggal di kolej. Jadi, sepanjang aku berada di kolej
ini, aku tidak keseorangan.
Bagi
mencegah penularan wabak ini masuk ke dalam kawasan universiti, kami tidak
diarahkan untuk keluar daripada kawasan kolej. Jadi selama dua minggu perintah
kawalan tersebut dijalankan, kami hanya menghabiskan masa dalam bilik.
Memandangkan kelas secara atas talian belum dimulakan, kami banyak menghabiskan
masa dengan menonton drama.
Tidak dinafikan bahawa aku terkilan kerena tidak balik ke
kampung. Berita yang dikhabarkan ibu kepadaku menjadikan aku penuh rasa
bersalah. Ayah. Ayah
sakit di kampung. Pelbagai andaian buruk bermain-main di kepalaku. Tanpa
kusedari air mataku mengalir. Sakit. Aku memegang dadaku. Perasaanku ketika itu
tidak boleh aku gambarkan dengan apa-apa. Risau. Aku sungguh risau akan
keselamatan ibu bapaku di kampung. Walaupun aku mempunyai enam orang adik
beradik, tetapi dalam keadaan seperti ini, pergerakkan untuk balik ke kampung
tidak dibenarkan sama sekali. Persoalan-persoalan menjentik mindaku untuk
berfikir. Begaimana ibu mahu menguruskan semuanya? Bagaimana? Perasaan serba salah mula menyelubungi aku. Pipiku
dibasahi lagi.
Rutin harian kami berlalu sama sahaja setiap hari. Waktu
tidurku kian berubah. Waktu makanku tidak menentu. Seolah-olah pengurusan
diriku gagal. Aku terasa hidup dalam sebuah kotak yang ditutup rapat. Hanya
angin sahaja dibenarkan untuk masuk. Namun, aku tabahkan hati dengan menyatakan
bahawa ini adalah sementara. Saban hari, wabak tersebut kian meningkat. Aku
sudah putus harapan untuk menjejaki kami di Bumi Kenyalang. Hampa. Tiada khabar
bahawa wabak tersebut akan mengalami penurunan. Oleh itu, PKP dilanjutkan
sehingga Jun 202. Rentetan daripada itu, kami terpaksa menjalani bulan puasa
dan beraya dalam suasana yang tidak lagi menyeronokkan bagi semua orang. Lebih-lebih
lagi bagi kami yang hanya berada dalam bilik sahaja sepanjang hari, selama PKP
dijalankan. Pelbagai perkara baharu yang terpaksa dijalani sepanjang tahun ini.
Mungkin sesuatu yang bakal memberi kegembiraan akan dikecapi kelak. Aku tidak
tahu.
Kipas kutenung lama. Entah. Hatiku tidak tenang daripada semalam.
Mata susah kulelapkan. Aku terdengar bunyi burung sudah mula berkicauan di
pagi hari lantas mengambil telefonku pantas, nombor telefon ibu menjadi
sasaranku. Panggilanku disambut. Setelah lama berbual, penggilan ditamatkan.
Perasaanku tidak menentu sama ada setuju atau tidak dengan kemahuan ibuku.
Ibuku ingin membawa ayah ke hospital. Namun, aku bimbang kerana wabak yang kian
mengganas tidak mengenal orang untuk menjadi mangsanya. Segala pesanan sudah
aku titipkan buat ayah dan ibuku supaya keselamatan sentiasa dijaga. Gunakan
pelitup muka. Jaga jarak dengan orang lain. Aku takut. Takut sesuatu yang buruk
akan berlaku. Semenjak ibu mengabarkan aku berita yang mengatakan ayah aku
sakit. Perasaan aku sudah tidak menentu. Aku berharap hati aku tabah dalam
menerima segala kemungkinan yang bakal berlaku.

